
Sebagai seorang Muslim, dua daripada nama-nama Allah SWT yang sentiasa kita ingatkan kepada diri kita setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali sehari ialah Ar-Rahmaan dan Ar-Rahiim – Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Mengasihani. Meskipun amat kerap dua nama dari al-asma’ ul-husna ini kita lafazkan sehari-hari, namun kadang kala kita tidak benar-benar menghargai sejauh mana kehebatan sifat yang ditunjukkan pada nama-nama ini.
Di dalam ayat berikut daripada surah Ibrahim, inshaAllah kita boleh melihat bagaimana Maha Pemurah dan Maha Mengasihani Allah SWT terhadap hamba-hambanya:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku pasti akan tambahkan kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku amat dahsyat. (Surah Ibrahim, 7)
Ayat ini merupakan sebahagian dari khutbah yang disampaikan oleh Nabi Musa AS kepada kaumnya Bani Israel untuk mengingatkan mereka untuk bersyukur kepada Allah SWT.
Di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa bagi orang-orang yang bersyukur, Dia akan tambahkan baginya. Persoalan yang mungkin timbul di sini ialah, apakah yang akan ditambahkan bagi orang-orang yang bersyukur itu? Adakah hartanya, kekuasaannya, anak-anaknya, ataupun keimanannya? Apabila Allah SWT tidak menyatakan secara khusus, maka apa sahaja boleh menjadi kemungkinan. Apa sahaja yang kita inginkan. Malah, ia mungkin juga sesuatu yang langsung tidak pernah kita bayangkan. Alangkah Maha Pemurah Allah SWT!
Seterusnya Allah SWT berkata tentang orang-yang kufur. Kufur bermaksud ‘menolak’. Ia adalah kata lawan bagi dua perkataan iaitu ‘iman’ dan ‘syukur’. Oleh yang demikian, orang-orang yang kufur di dalam ayat ini adalah orang-orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah. Bagi orang-orang ini, Allah berfirman: “Sesungguhnya azab-Ku amat dahsyat.”
Cuba bandingkan kedua-dua kenyataan tadi. Bagi orang-orang yang bersyukur, Allah berfirman: “Aku pasti akan tambahkan kepada kamu”. Tetapi bagi orang-orang yang kufur, tidak pula dikatakan kepada mereka : “Aku pasti akan mengazab kamu” seiring dengan kenyataan sebelumnya. Allah sudah memastikan ganjaran bagi mereka yang bersyukur, tetapi sebaliknya bagi mereka yang kufur pula, Allah SWT cuma memberi amaran: “Sesungguhnya azab-Ku amat dahsyat”. SubhanAllah! Alangkah Maha Mengasihani Allah SWT terhadap hamba-hambanya!
Maka patutlah kita benar-benar bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari golongan yang sentiasa bersyukur kepada-Nya, dan menjauhkan kita dari menjadi dari golongan mereka yang kufur terhadap-Nya
Wallahua’lam.
Go to the main page
You must be logged in to post a comment Login